Tuesday, October 12, 2010

Bangsa melayu

Ada ketikanya penggunaan istilah boleh salah dan membawa kesan negatif dan buruk terhadap sesuatu pekara. Lebih malang lagi jika membabitkan kefahaman orang terhadap agama. Dalam pemerhatian kita semua, antara fahaman yang buruk membabitkan agama ialah menjadikan Melayu nma ganti kepada Islam manakala Cina ganti nama bagi kafir.

Maka ada orang Melayu yang menyatakan kepada orang yang baru menganut Islam sebagai masuk Melayu dan bukan Islam di sebut sebagai “Cina”. Seakan-akan menganggap Cina ini kafir dan Melayu mewakili Islam. Sehingga lebih buruk lagi apabila mereka melabel sepanjang hayat seorang yang bukan Muslim yang berbangsa Cina jika menganut Islam sebagai Mualaf dan lebih teruk lagi dalam loghat Utara “Mat Loh”. Seakan-akan Melayu sahaja yang dapat menjadi Muslim sejati adapun orang Cina walau macam mana kuat sekali Islamnya tetap dianggap atau dipanggil menumpang dan tidak asli berbanding Melayu yang kononnya jati dirinya adalah Islam.

Walhal ramai orang Cina yang menganut Islam dan keislaman mereka terpapar begitu baik sekali dalam kehidupan seharian mereka berbanding berapa ramai pula orang Melayu yang semenjak lahiriahnya Islam tetapi keislaman mereka wajar dan harus dipertikaikan.
Kain pelekat, sampin dan baju Melayu bukan pakaian Rasulullah tetapi orang Melayu menganggapnya sebagai pakaian berunsur agama kerana ia budaya Melayu. Memang benar Islam tidak menghalang pengamalan budaya yang tidak menyanggahi na-nas agama.

Namun, suatu ketika dahulu orang Melayu pernah menganggap salah makan dengan sepit kerana menyamai budaya orang Cina sedangkan umat Islam di China memakan masih lagi memakai sepit kerana itu budaya mereka di China.

Walau pun tiada bezanya antara makan dengan sepit dan makan dengan menggunakan garpu Inggeris. Tetapi apa yang Rasulullah suruh adalah makan dengan tangan kanan dan makan bahagian yang diperuntukkan atau yang hampir.

Ini seperti sabda Rasulullah kepada Umar bin Abi Salamah ketika dia hendak makan, ketika itu dia masih kecil:
“wahai budak, sebutlah nama Allah makan dengan tangan kananmu dan makan apa yang dekat denganmu (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Begitu juga dengan perihal nama, orang Melayu akan suruh orang Cina yang menganut Islam menukar nama mereka kepada Arab. Seakan-akan nama seperti Ah Chong, Ah Seng, Lim Koh mewakili kekufuran. Mungkin kerana tidak berbunyi Arab lalu orang Melayu orang merasa janggal untuk menyebutnya.

Malangnya, orang Melayu tidak pula berasa janggal dengan nama-nama seperti Awang, Leman dan Seman yang bukan berasal dari bahasa Arab. Bahkan banyak sekali nama Melayu yang tiada makna pun dalam bahasa Arab tetap diterima.

Lebih daripada itu, ada yang maknaya buruk jika diterjemah ke dalam bahasa Arab tetapi boleh diterima kerana itu nama-nama pilihan Melayu. Apakah Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu kerana Rasulullah sendiri tidak pernah menyuruh mereka yang menganut Islam menukar nama mereka melainkan ia membawa maksud yang tidak baik.

Misalnya nama Umar semenjak zaman jahiliyah lagi dan itulah namanya apabila menganut Islam dan demikian juga nama sahabat lain. Tidak salah bagi orang Cina yang hendak menganut Islam mengubah namanya sekerinya itu adalah kemahuan mereka dan bukannya desakan mana-mana pihak di mana ia wajar diberi pilihan.

Tetapi dalam masa yang sama orang Cina yang menganut Islam mesti diberi pilihan sekiranya mengubah nama asal mereka kepada nama Melayu lantaran bimbang akan dipinggir daripada keluarga asal mereka.
Tidak salah mengekalkan nama asal keran jika Awang boleh kekal mengapa Ah Chong tidak boleh kekal dan ternyata perbuatan menseiraskan Islam dengan Melayu mendatangkan kesan yang sangat negatif kepada kaum lain yang bukan Melayu untuk menerima dan menganut Islam.

Apatah lagi sekiranya watak Melayu kontemporari bertentangan dengan Islam pada ketika ini. Sementara banyak watak bangsa Cina pada ahlak dan tabiat mereka dipuji kerana menghampiri Islam sekalipun mereka mengamalkannya bukan kerana Islam tetapi tradisi dan kebiasaan budaya mereka.

Cuma kelebihan yang tidak boleh kita pertikaikan, ramai orang Melayu beriktikad dengan akidah Islam berbanding dengan orang Cina di Malaysia lantaran akidah yang sahih adalah penyelamat utama kehidupan akhirat.

Namun tidak dinafikan, ramai Melayu yang hanya bernama Muslim tetapi keimanan dan ketaqwaan kepada ilahi dan ajaran Islam tidak selari. Berbanding orang Cina yang disebabkan sejarah menjadikan majoriti mereka tidak menganut Islam di Malaysia ini.

Ini kerana seruan Islam mungkin tidak jelas sampai kepada mereka di samping orang Melayu yang menganut Islam tidak mahu menyampaikan dakwah atau tidak memaparkan imej Islam yang baik sebagaimana yang dibawa Rasulullah suatu ketika dahulu. Sebaliknya dalam kebanyakkan hal kita mempamerkan watak yang bertentangan dengan Islam.
Begitu juga dengan aspek salah faham terhadap Islam. Orang Melayu boleh berbincang macam-macam perkara dengan orang Cina, termasuk mengajak mereka untuk turut serta dalam perpaduan kaum dan integrasi nasional tetapi mengapakah orang Melayu tidak mampu membincangkan kehebatan Islam dan mengajak orang Cina menganut agama pilihan mereka. Bahkan segelintir sikap Melayu yang tidak seiras dengan Islam menjadikan sebahagian besar orang Cina salah faham terhadap Islam atau bimbang untuk menganut Islam.

Sifat malas, kurang berusaha, dendam kesumat dan seumpamanya adalah sifat yang diperangi Islam tetapi sifat ini banyak kelihatan dalam ceritera Melayu yang majoritinya menganut dan mengamalkan Islam. Tambahan pula ramai pelajar Melayu yang jauh ketinggalan dalam ilmu dan pencapaian dalam bidang pendidikan.

Jika mereka bersaing dengan pelajar Cina baik di sekolah mahupun di universiti dalam banyak hal pelajar Melayu akan kecundang. Hinggakan dalam soal pengetahuan Islam orang Melayu sendiri tidak berminat dengan ilmu Islam yang tulen. Sebaliknya kita lebih berminat dengan cerita Israeliyyat, kisah dogeng, petua yang tidak bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah.
Mereka lebih suka memperolehi maklumat secara mudah tanpa difikir dan dikaji secara mendalam kesahihannya. Perpustakaan awam dan buku-buku, nisbah orang Melayu yang menggunakannya dan membacanya masih lagi kecil dan segelintir.

Takkala pelajar dan masyarakat Cina berusaha kuat untuk terus maju dan membangun dalam ruang dan peluang pendidikan yang disediakan orang Melayu masih terus cuai dan leka sedangkan Islam yang dianuti mereka amat menitikberatkkan aspek masa dan waktu untuk dijaga dan dipelihara.

Apabila hampir kepada tarikh peperiksaan pula sesetengah ibu bapa Melayu sibuk mencari kismis jampi atau air jampi ustaz untuk menghasilkan keputusan peperiksaan anak yang cemerlang.
Hasilnya, apabila keputusan periksa keluar sudah pasti pelajar yang berusaha keras dan bersungguh-sungguh lebih cemerlang berbanding dengan pelajar yang hanya cemerlang dengan kismis dan air jampi walhal Islam yang dianuti menekankan aspek berusaha bersunguh-sunguh dalam kehidupan.

Bayangkan kalau orang Cina yang belum Islam memiliki tanggapan mengenai tabiat ini dan menganggap perbuatan pelajar Melayu bergantung dengan air yang dianggapnya agama Islam sudah pasti mereka tidak mahu menganut Islam kerana melihat rialiti orang yang banyak gagal adalah orang yang banyak minum air jampi yang dibaca dengan doa rumusan Islam. Seolah-olah Islam tidak mengajar kita untuk jadi cerdik kerana hanya bergantung dengan jampi serapah tanpa doa dan usaha.

Dalam hadis Rasulullah ada mendoakan beberapa sahabat agar diberikan ilmu dan kepandaian. Antaranya termasuklah Ibnu Abbas yang didoakan baginda:-
“Ya Allah, Ajarkanlah dia Al-kitab (al-Quran)” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Namun Ibnu Abbas bukanlah seorang yang hanya menunggu doa dari Rasulullah untuk hasil datang bergolek sejarah ada mencatatkan kesunguhan beliau dalam berusaha memperolehi ilmu. Selain daripada berkesempatan menerima ilmu dari Rasulullah secara langsung selama 30 bulan. Rasulullah wafat ketika Ibnu Abbas berusia 13 tahun dan beliau meneruskan usahanya mengambil hadis daripada para sahabat seperti Umar Bin Khatab, Ali, Mudas, bapanya sendiri iaitu Abbas, Abd Rahman Bin Auf, Abu Sufian, Abu Zar, Ubai Bin Kab dan Zahid Bin Thabit.
Iaitu terlaksana kehendak Allah dengan peraturan Allah tentukan untuk alam ini iaitu sebab musabab ilmu datang dengan usaha dan kesunguhan. (Lihat al-Zahabi, Siyar Alam al- Nubala, 3/332-337, cetakkan Maktabah ar-Risalah, Beirut)

Para ulama yang muktabar seperti Imam Bukhari, Imam al-Syafie, Ibnu Taymiyah menjadi jaguh ilmu bersunguh-sunguh setelah mereka berusaha untuk mendapatkannya. Pendek kata kehebatan mereka dalam menuntut ilmu tidak bergantung kepada air jampi atau pensel dan pemadam jampi sebelum memasuki peperiksaan. Juga tidak air yasin jampi yang diminum oleh masyarakat kita tanpa menghayati isi kandungannya yang menjadi fokus utama untuk berjaya.

Sesunguhnya kejayaan generasi silam dalam memartabatkan diri menjadi bangsa yang hebat bukan kerana bangsa tetapi mereka menghayati semangat ketinggian agama dalam kehidupan mereka di mana mereka cemerlang kerana kesungguhan mereka menuntut ilmu dan ikhlas kepada Allah dan tidak hanya mementingkan sijil sehingga membolehkan keikhlasan mereka dalam bidang yang mereka ceburi membawa Islam ke arah pembinaan tamadun yang gemilang dan terbilang.

Dalam masa yang sama ramai juga anak Melayu hanya mementingkan sijil tiada kualiti ilmu yang mereka tuntut. Akhirnya ramai anak Melayu yang ada kelulusan sijil tetapi tidak tertonjol ilmunya untuk mendapat tempat dalam pasaran kerja. Maka lahirlah golongan yang ada ilmu tetapi tiada sijil mengalahkan anak Melayu yang ada sijil tetapi ilmunya secebis di dada kerana mungkin mereka membaca sekadar untuk lulus peperiksaan tetapi hilang ilmunya setelah tamat periksa.
Kita kadang kala terpaksa untuk mengakui dan memuji anak Cina kerana pendidikan mereka tidak tinggi dan dan bersijil kadang-kala tetapi ilmu dan pengetahuan yang mereka miliki sangat tekun dipeajari sehingga kemahiran yang mereka miliki mengatasi orang yang bersijil dan berkelulusan kualitinya ama ada mereka warisi dari ibu bapa atau mempelajarinya secara praktikal daripada orang lain.

Sekali pun mereka bukan Islam tetapi tabiat dan kesungguhan mereka ini adalah sesuatu yang disukai agama kerana agama sentiasa mengalakkan kita sentiasa berusaha dan bergantung kepada Allah. Firman Allah dalam surah Taha:113:-
“Wahai Tuhan tambahkan daku ilmu”
Akhir kalam, walau pun orang Melayu dan ustaz Melayu sering membaca hadis palsu “tuntutlah ilmu sehingga ke negeri China” (Lihat Al-Jarrahi Kasyf al-Khafa 1/138, cetakan Dar Ihya al-Turath al-Arabi, Beirut/ Nasir al-Din al-Albani Silsilah ad-Dhaifah wa Al-maudah 1/600, cetakan:Maktabah al-Maarif Riyadh). Orang Cina tidak membaca hadis palsu ini namun mereka bertungkus lumus menuntut ilmu. Budaya membaca mereka lebih kuat daripada orang Melayu.